Kali ni aku nak share ada satu notes dari member aku ,nama dia Mohamad Sharafuddin ,die ni bagusla dalam bab2 bagi tazkirah...aku salute ko bro!..post ni sangatla menarik utk dikongsi..aku x taula mungkin ada yang dah baca atau pun belum ...knapa menarik? sebab aku pun dah baca dua tiga kali post dia ni..maybe adalah sebagai untuk iktibar bagi kita yang bernama umat Islam untuk hari ni..dan ianya aku jadikan sebagi renungan yang terbaik, sebab kadang-kadang aku sendiri pun terasa situasi yang macam ni sekarang...dan bila berfikir balik, betul aku setuju dengat ayat ni ..Beruntung jadi Orang yang Ganjil..sekurang-kurangnya ada juga kata-kata yang menenangkan hati ni bila tiba bab cintan-cintun zaman sekarang..huhuu
credit to Mohamad Sharafuddin( my facebook's member)
'Bismillah. Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah.
InsyaAllah, post kali ini menyentuh sedikit mengenai ‘dagang’ atau ‘asing’ nya agama Islam.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah sallallahu alaihi wassallam bersabda:
بدأ الإسلام غريبا وسيعود كما بدأ غريبا فطوبى للغرباء
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing, Dan ia akan kembali sepertimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka beruntunglah orang – orang yang ganjil.”
(Hadis Riwayat Muslim, no 145)
Sahabat – sahabat yang saya kasihi sekalian, ketika Allah mengutuskan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassallam di jazirah Arab untuk berdakwah menyebarkan Islam, jazirah Arab merupakan kawasan yang sangat berleluasa berbagai kesyirikan dan kemaksiatan. Anak perempuan dibunuh kerana dianggap membawa sial kepada keluarga, arak dan zina dianggap perkara biasa, manusia menjadi hamba kepada manusia yang lain, penindasan terhadap mereka yang lebih lemah dilakukan tanpa rasa bersalah dan lebih teruk adalah penyembahan berhala – berhala yang diamalkan secara turun temurun oleh penduduk Tanah Arab pada ketika itu.
Bukanlah mudah untuk penduduk Tanah Arab ketika awal penyebaran Islam untuk menerima agama ini. Islam merupakan sesuatu yang sangat asing pada ketika itu. Bilamana mereka menyembah berbagai – bagai tuhan, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassallam menyeru mereka menyembah Tuhan yang satu iaitu Allah, dan tiada Tuhan lain yang layak disembah melainkan Allah. Sukar untuk sebahagian mereka untuk menerima Akhlak terpuji yang disarankan oleh agama ini bila maksiat merupakan perkara biasa di kalangan mereka.
Umat Islam pada ketika itu ganjil atau asing bukan kerana mereka salah, bukan kerana risalah yang dibawakan salah, bukan kerana pegangan mereka salah, tetapi kerana mereka berbeza daripada kebanyakan orang pada waktu itu.
Pada ketika umat majoriti rosak aqidahnya, Nabi Muhammad menyeru kepada aqidah yang sejahtera, pada ketika mereka rosak akhlaknya, Rasulullah mengajak kepada akhlak yang mulia. Pada ketika kebanyakan orang menerima kebatilan sebagai cara hidup, Rasulullah sallallahu alaihi wassallam dan umat Islam menyeru kepada amar makruf dan nahi mungkar.
Hanya disebabkan mereka sedikit bilangannya, hanya kerana mereka adalah golongan minoriti, mereka dianggap sangat asing dan ganjil. Nabi Muhammad menyampaikan risalah agama ini kepada mereka, dengan bersungguh – sungguh tanpa kenal penat lelah sehingga dengan izin Allah jadilah Mekah dan juga Madinah seperti ia pada hari ini, dan dengan izin Allah juga, Alhamdulillah kita pada hari ini bersyukur kerana kita dilahirkan sebagai seorang Muslim. Tetapi usaha Dakwah itu memerlukan pengorbanan yang sangat besar, menghadapi kecaman, cacian, dan seksaan daripada kaum kafir Quraisy yang enggan meneriman Islam, semuanya kerana Islam adalah sebuah agama yang sangat ganjil ketika awal kedatangannya.
Adakah keadaannya berbeza dangan situasi pada hari ini? Adakah pada hari ini umat Islam boleh menjamin bahawa aqidah mereka sejahtera daripada segala kesyirikan? Adakah mereka sedar dengan mempercayai horoskop boleh menentukan untung nasib mereka, dengan mempercayai bahkan hanya dengan berjumpa dengan bomoh, dukun atau tukang tilik, itu sudah cukup untuk mencemarkan aqidah mereka? Adakah mereka melaksanakan ibadah – ibadah sepertimana yang disyariatkan kepada mereka? Adakah mereka tahu sama ada ibadah mereka itu sahih ataupun tidak? Adakah akhlak yang ditunjukkan manusia pada hari ini akhlak yang terpuji? Adakah bergaul bebas antara lelaki dan wanita, bepegang tangan & ber’couple’ itu merupakan perkara yang dibenarkan?
Realitinya pada hari ini, Islam kembali menjadi asing. Tak percaya?
Pernah kita berasa asing kerana kita seorang sahaja yang menunaikan solat di kalangan sahabat – sahabat kita apabila kita keluar berjalan – jalan? Pernah kita berasa asing apabila menutup aurat bilamana rakan – rakan kita mendedahkannya tanpa secubit rasa malu? Pernah kita berasa asing apabila hanya kita sahaja yang tidak mempunyai ‘teman’ apabila rakan – rakan sekelas sibuk melayan cinta? Pernah kita berasa asing kerana berlaku jujur sedangkan penindasan, penipuan berleluasa di sekeliling kita? Pernahkah kita berasa asing apabila kita tidak pernah menyertai konsert – konsert hiburan yang melalaikan sehingga dilabel sebagai kolot? Pernah kita berasa asing menyeru kepada amar makruf nahi mungkar apabila yang batil itu berleluasa dan yang hak itu dipandang hina?
Jika kita pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wassallam.
فطوبى للغرباء
“Maka beruntunglah orang – orang yang ganjil.”
Firman Allah,
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ ﴿١١٦﴾
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
(Al – An’aam [6]: 116)
وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ١٠٣﴾
Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman).
(Yusof [12] : 103)
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ﴿٤٩﴾
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.
(Al – Maidah [5] : 49)
Kepada sahabat – sahabat yang dipilih Allah untuk berada dalam ‘keasingan’ ini, istiqamah dan bersabarlah menempuhinya.
Allah itu Maha Pengampun dan menerima Taubat hambanNya. Jika ada antara kita berfikir yang kita tidak boleh atau tidak mampu untuk berubah, cuba kita renungkan bagaimana sifat orang Arab itu sendiri. Bangsa Arab seperti yang kita tahu adalah sebuah bangsa yang sinonim dengan kekasaran, kedegilan dan sebagainya. Antara hikmah Rasulullah sallallahu alaihi wassallam diutuskan di Tanah Arab, antara hikmah agama Islam itu bermula di Tanah Arab, adalah untuk menunjukkan bahawa sekeras dan sedegil bangsa Arab itu pun, mereka mampu untuk berubah dan diubah menerima Islam sebagai agama mereka, meyakini kebenaran agama ini dan mengamalkannya pada setiap masa walau di mana mereka berada.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٠٥﴾
Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.
(Al - Maidah [5] : 105)
يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ ﴿٦﴾
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾
وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ﴿٨﴾
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Al – Zalzalah [99]: 6 – 8)
Setiap daripada kita akan dibangkitkan di akhirat kelak, dan akan diperlihatkan akan segala amal kita di dunia ini. Pada waktu itu kita tidak lagi mempunyai peluang untuk memperbaiki segala kesilapan dan kesalahan di dunia ini. Semoga kita diberi taufiq & hidayah untuk mempraktikkan Islam di dalam kehidupan, walaupun dianggap sebagai asing daripada kebanyakan orang, kerana janji Allah mengenai balasan di akhirat kelak adalah pasti.
Wallahualam'
No comments:
Post a Comment